Untuk Puak Acah-Acah Islamist

 Image result for Politik Malaysia





Acah-acah ialah bahasa urban yang sering terpakai untuk sesetengah orang yang suka berpura-pura dan konteks lebih rapat lagi ialah pseudo. Istilah 'pseudo' dalam kamus bahasa Inggeris bermaksud "false, not genuine, spurious, or sham'. Jadi mudah untuk difahami dalam konteks umum acah-acah atau pseudo merujuk kepada segelintir orang yang perasan mahir dalam sesuatu bidang tetapi ia hanya sekadar manusia biasa yang ada kebarangkalian melakukan kesalahan dalam kehidupan.

Islamis dalam konteks penulisan ini ialah sesebuah golongan atau individu atau seseorang yang menganuti pemahaman Islam dan memperjuangkannya di saluran politik (siasah). Suka untuk dimaklumkan bahawa konsep Islam ini tersangatlah luas mengikut pemahaman penulis namun dalam penulisan kali ini penulis hanya menumpu dalam kerangka siasah sahaja.

Apa cuba yang hendak disampaikan di sini?

Pertama sekali ini hanyalah kritikan sosial dari pengamatan penulis dengan melihat reaksi sesetengah Islamis atau acah-acah Islamis dalam adab dan etika perbezaan pandangan. Mungkin mereka boleh berbangga dan rasa direstui kerana ketulenan kepercayaan Islam mereka. Mungkin mereka tidak perasan atau buat-buat tidak perasan bahawa secara relatifnya, terdapat pelbagai kepercayaan dan pemahaman  manusia yang wujud di muka bumi ini kerana ia merupakan sunatullah yang menciptakan manusia pelbagai ragam tidak sekadar hanya perbezaan jantina, bangsa, warna kulit serta agama semata-mata

Keduanya, mungkin ini sekadar pengalaman si penulis sendiri yang melihat perkara ini berlaku dalam kehidupan sendiri tatkala melihat kawan-kawan malah sesetengah keluarga yang terkena jangkitan ketaksuban politik melampau-lampau sehingga membelakangkan akhlak baik yang selama ini menyelimuti identiti jati seorang Muslim. Hey, saja aku nak habaq, hebatnya hang bukan sebab hang Melayu semata-mata tapi sebab didikan Islam yang hang anuti menjadikan hang manusia yang dihormati dengan budi dan akhlak.



Delusi Islamis Bersiasah

Politik kini bukan lagi dilihat sebagai wadah untuk menyatukan bahkan hanya menimbulkan kebencian yang tidak seteru dengannya. Yang mencorakkan mekanisme politik membela bangsa Melayu dan Islam lebih galak meniup sentimen perkauman dan agama menjurangkan lagi kemajmukan masyarakat Malaysia mutakhir.

Kebodohan dan ketidakrasionalan dalam segelintir aktor-aktor pseudo-Islam dalam memperjuangkan ideologinya dalam wasilah politik dimana halal apa segala yang mereka lakukan tetapi haram kepada yang lain. Ditambah lagi dengan gegak-gempita sorakan para pentaksub di bawah yang mendukung serta tidak puas mengagungkan pimpinan mereka diatas yang terus mengalami delusi dengan perjuangan mereka.

Kepesongan jalur siasah terjadi tatkala meletakkan kayu ukur perjuangan mereka sebagai satu akidah iaitu pegangan kepercayaan bahawa ijtihad mereka sahaja yang membawa Islam yang sebenar. Sayang seribu kali sayang, ada di antara mereka ini dihormati dalam masyarakat serta menjadi figura agamawan akan kepetahan berperihal agama serta tinggi ilmunya menjadi lebih gila daripada orang amuk bila bercakap tentang politik. 

Mengenang kembali romantika kegemilangan Islam terdahulu sepatutnya diambil iktibar daripada kalian bagaimana tertib dan menjaga akhlak seorang ulama tatkala berkhilaf pendapat dengan tok gurunya atau ulama yang lain. Matlamat utama untuk mencari kebijaksanaan dan jawapan yang baik dalam setiap hujahan bukan untuk menjatuhkan dan mengaibkan pihak lawan sahaja. Mereka kebanyakan nya berlapang dada serta menghormati antara satu sama lain. Nah! bukankah nilai baik yang kalian sepatutnya ambil kira bukan sekadar hanya berkhayal dan mabuk dengan romantika kehebatan Muslim terdahulu?
  

Politikus Islamis dan Hipnotisnya kepada Masyarakat

Segelintir masyarakat Muslim lebih  tertarik dengan karismatik sosok individu dalam politik yang sengaja diciptakan untuk menutup kesalahan dan kelemahan yang mereka lakukan dalam arena politik. Ilusi diciptakan dengan sosok yang dilihat seperti 'innocent' meskipun sudah terpalit dengan beberapa skandal yang sebati didengari dalam kancah politik iaitu rasuah dan penyelewengan. 

Tidaklah menjadi kesalahan jika mereka ini termasuk penyokong tegar bawahan hendak mempertahankan diri mereka kerana mereka mempunyai hak untuk memelihara maruah mereka selagi tidak disabitkan kesalahan secara rasmi oleh mahkamah.

Namun, kejelikan teserlah bagaimana reaksi mereka (iaitu pendokong serta beberapa pemimpin akar umbi) yang defensif terhadap tuduhan yang dikenakan dengan beberapa plot yang menguatkan lagi prasangka umum bahawa mereka ini "holier-than-thou" dalam menegakkan hujah. Selain itu, mereka terus menyerang peribadi dan caci maki yang ditembak melalui para pahlawan papan kekunci mereka di atas platform kebebasan bersuara di sosial media.

Maka tidak hairanlah sesetengah orang awam khususnya orang Melayu sudah terikat dengan belas ihsan politikus yang berjaya menagih simpati ini sehingga menjadi tidak rasional menilai situasi politik di tanah air. Tidak tahu membezakan mana yang betul dan mana yang salah seiring dengan sentimen membela nasib Melayu serta Agama Islam terus disalah erti menjadi asbab berleluasanya berita palsu dan fitnah yang mencacatkan senario politik di Malaysia.

Watak Protagonis dan Antagonis dalam Ceritera Politik

Kebiasaannya, apabila kita menonton sebuah cerita atau drama seringkali mahu mencari siapa yang memegang watak protagonis (selalunya merujuk watak utama seperti hero) dan watak antagonis (karakter yang dilihat suka menentang).

 Maka keseluruhan cerita lebih tertumpu kepada watak baik vs watak jahat. Jadi, watak utama yang dilihat sebagai hero dan baik terus diangkat manakala watak jahat dicemuh menjadi penanda aras yang cliche untuk sesebuah penceritaan dan drama di layar skrin dan televisyen. Cliche penanda aras ini jugalah yang mewarnai perspektif cara pandang segelintir orang bani Melayu-Muslim yang rendah mentalitinya dalam menilai sesuatu perkara berlaku dalam kalangan masyarakat.

Kembali kepada arena politik di Malaysia, pembunuhan karakter individu dalam politik sering menjadi bahan utama dalam rencah asam garam mendepani perbezaan politik kedua-dua belah pihak. 

Serangan demi serangan yang bermula dari peringkat akar umbi sehingga publisiti di kuliah agama di masjid surau serta alam maya di facebook berjaya mengalihkan arah keikhlasan sesetengah masyarakat akan prihatin dengan nasib Melayu dan agama Islam. Kini, penghinaan serta makian menjadi ratib biasa dilafaz melalui papan-papan kekunci di sosial media menyerang sosok individu ahli politik yang dibenci.

Lebih parah lagi, mereka merasakan puak-puak mereka sahaja menjadi watak hero dalam menyelamatkan ummah dan para pengkritik dihukum menjadi watak jahat yang ingin menggugat masyarakat Muslim Malaysia. Memualkan!


Solusi Tidak Datang Dengan Mudah

Hendak berpolitik silakanlah. Jika mahu mengkritik amatlah dialu-alukan. Namun, jangan kamu menjadi buta akhlak dan tidak berperikemanusiaan dalam jalur siasah. Yang salah tetap salah dan yang tidak betul harus ditegur. 

Ada bezanya dengan ketegasan dan keamukan amarah dalam berbeza pandangan.Bukan hanya sekadar meninggikan suara dengan herdikan semata-mata. Sayang kamu orang mungkin baik praktis amalan Islamnya serta tinggi prihatinnya menegakkan Islam tetapi ditutup oleh kebatilan sifat mazmumah kamu sendiri.

Kecewa dan Marah dengan beberapa tindakan Kerajaan kini? Ya betul. Tidak menjadi kesalahan pun kamu hendak mengkritik kerajaan. Sebab itu sistem demokrasi tidak sesekali menafikan hak kebebasan bersuara kamu. Cuma itulah, jangan kamu menjadi ejen penyebar fitnah dan memanipulasi fakta semata-mata atas nama kebencian. Ada perbezaan pendapat dalam sesuatu isu? Boleh berbincang dengan cara matang tanpa herdik serta caci maki kawan.

Jadi, tidak ada solusi datang dengan mudah. Peranan kita bersama waimah yang menyokong kerajaan ataupun mengkritik harus diambil iktibar bersama. Semoga persaingan sihat akan berlaku dalam menghadapi perbezaan ijtihad politik agar terus menyuburkan sistem demokrasi yang wujud di Malaysia yang tercinta ini.

Sekian dari aku.

Ondek Pak Eh.

Yang benar,

Nidhal Rawa


























Comments