Wanita Melayu, Hijab dan Hak Memilih Pakaian? Ini Semua Poyo!
Kecoh baru-baru ni dengan isu penganjuran forum dan peluncuran buku yang diadakan di Gerakbudaya Bookstore, Petaling Jaya pada 13 April 2019 (Sabtu) lepas. Apa yang dibincangkan di forum ini? Sejujurnya aku bukanlah orang yang tepat untuk mengulas kerana aku tidak ada di tempat kejadian. Apa-apa informasi daripada forum ini aku akan merujuk daripada informasi yang diberikan oleh penagnjur itu sendiri boleh diakses oleh orang awam seperti di pautan ini: https://www.couchsurfing.com/events/forum-malay-women-dehijabing
Aku harap dapat tonton dengan lebih lanjut tentang forum ini supaya lebih adil dan rasional untuk menilai serta mengulas intipati forum ini. Jadi, apa boleh aku perhati dan menilai hanyalah reaksi orang yang mendokong / menyokong Hak Kebebasan Manusia serta pendokong / pembela Islam. Lagi sekali untuk aku ingatkan, ini hanyalah pengkategorian dari sudut pandang pengetahuan aku yang terhad serta mudah untuk memahami situasi ini.
Isu Wanita dan kewajipan bertudung ini juga bersangkut-paut dengan budaya dan suruhan agama yang terdidik semenjak proses Islamisasi (kadangkala dirujuk juga proses Arabisasi) yang berlaku pada era 80-an. Kini, hijab telah disandarkan sebagai salah satu bentuk fizikal yang nyata untuk menunjukkan identiti keislaman selain daripada suruhan untuk menutup aurat. Lama-kelamaan ia menjadi norma dalam masyarakat akan konsep berhijab ini.
Jika dahulunya sebelum proses islamisasi berlaku, konsep kesopanan dan tatasusilaan seorang gadis dititikberatkan dalam etika pergaulan, berketerampilan yang lemah-lembut serta menghormati orang tua. Namun, kini telah berlaku tambah nilai dalam cara pandang stereotaip masyarakat dengan etika pemakaian yang sopan. Justeru, pemakaian hijab antara kriteria penting dalam stereotaip etika pemakaian sopan terhadap wanita.
Seiring dengan arus modernisasi, terdapat beberapa kumpulan yang mengangkat hak asasi kemanusiaan atau sering dipopularkan sebagai pergerakan liberalisme melihat kewajipan berhijab/bertudung dalam kalangan masyarakat Melayu dan Muslim sebagai salah satu penindasan terhadap kaum wanita. Ini mungkin berkaitan dengan kebebasan untuk memilih pakaian sendiri seperti memilih hala tuju hidup sendiri. Justeru, golongan ini melihat kewajipan untuk menyuruh kaum wanita dalam keluarga atau skop lebih besar dalam masyarakat untuk berhijab dilihat sebagai satu bentuk paksaan yang bagi mereka tidak menghormati kebebasan manusia
Bila berbicara akan ancaman liberalisme dalam kalangan masyarakat Melayu, maka ia juga dipukalkan dengan beberapa pergerakan Hak Asasi Manusia yang memesongkan aqidah seperti Pejuang Hak LGBT. Di Malaysia, isu-isu ini sering dijadikan senjata ampuh oleh segelintir politikus Melayu-Muslim untuk meraih kewibaan mereka serta menakut-nakutkan orang awam. Ini kerana, kesedaran untuk memelihara aqidah (kepercayaan) Islam itu amat tinggi dan penting untuk masyarakat Melayu. Maka, tidak hairanlah jika dilihat segelintir masyarakat Melayu-Muslim memberi reaksi yang sangat ekstrim terhadap anasir-anasir yang taghut (sesat) ini terutama sekali isu bertudung yang merupakan wajib dituruti dalam Islam.
Kekalahan dalam PRK Rantau baru-baru ini telah dijadikan sandaran utama kepada keampuhan ketidakpercayaan pengundi Melayu kepada kerajaan Pakatan Harapan. Hal ini juga disemarakkan dengan sentimen agama dan kaum yang ditiupkan oleh penyatuan PAS-UMNO (BN) yang menampilkan imej mereka sebagai pelindung sebenar kaum Melayu dan agama Islam. Semestinya, perkara ini menjadi titik utama dalam plot-plot politik di Malaysia ini sehingga mempengaruhi beberapa percaturan politik dari pihak Kerajaan PH; dan salah satunya responsif terhadap isu ini.
Menteri Agama; Dato Seri Dr. Mujahid baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan respons terhadap forum baru-baru ini yang memandang serius akan program ini dan menyerahkan kepada JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) untuk menjalankan siasatan penganjuran forum ini dengan adil dan sebaiknya.
Segelintir golongan yang mendokong hak asasi kemanusiaan berpendapat bahawa kenyataan Menteri Agama yang membenarkan penguatkuasa agama untuk menjalankan siasatan adalah manifestasi kerajaan menyekat hak kebebasan untuk berdiskusi dan bersuara. Justeru, menteri agama diperlihatkan sebagai seorang aktor politik yang hipokrit persis kerajaan BN terdahulu yang hanya menindas mereka dan mementingkan 'mileage' mereka untuk meraih sokongan popular dalam masyarakat.
Mengikut pengamatan aku, Kerajaan PH masih cuba mencari rentak yang harmoni dalam agenda mereformasikan institusi-institusi kerajaan serta membaik pulih keadaan ekonomi negara Malaysia disamping itu tersepit dengan sentimen agama-bangsa yang kuat menekan imej Kerajaan kini yang dilihat seolah-olah menghakis kedaulatan Islam dan Melayu dengan momokan penguasaan DAP yang sekular. Langkah-langkah populis sering diambil oleh beberapa figura politik demi meraih kepercayaan dan prinsip PH untuk membela semua kaum dan agama khususnya majoriti Bani Melayu rentetan dalam isu ini.
Kerajaan kini benar-benar teruji dengan menghadapi naratif politik pembangkang yang menggembleng penyatuan tenaga bersama membela ummah (dalam bacaan Melayu) dan sedikit sebanyak mempengaruhi corak langkah strategi pergerakan PH dalam politik kini yang lebih memihak untuk meredakan keresahan Melayu-Muslim dengan beberapa isu yang dilihat menggugat kedaulatan Islam dan Melayu.
Lumrah politik, tidak semuanya keputusan yang memenuhi kehendak semua pihak. Tetapi sebagai seorang ahli politik semestinya mempunyai pertimbangan dan gerak atur yang akan menguntungkan keberadaanya dalam kalangan rakyat. supaya mereka dilihat kekal relevans mengikut situasi dan masa. Jadi dalam kes ini, pendapat aku kenyataan Menteri Agama terhadap isu adalah satu jaminan untuk pihak Pakatan Harapan dengan kewibawaan dan komitmen yang tinggi mahu memelihara agama Islam dan tegas terhadap anasir-anasir luar yang mahu menggugat agama rasmi di Malaysia in
Namun dalam kes kali ini tidak memihak segelintir pendokong Hak Asasi Kemanusiaan yang aku kenal yang amat marah dengan prestasi Menteri Agama. Hal ini mungkin kerana kenyataan Menteri Agama dilihat seakan berbentuk kekerasan serta membenarkan penindasan berlaku berbeza pendekatan Dr Mujahid terdahulu yang dilihat seolah-olah lebih lunak dengan mereka. Atau mungkin mereka berasa ironik dengan pendekatan Islam Rahmatan Lil Alamin tidak sejajar dengan menyerahkan perkara ini kepada penguatkuasa untuk diambil tindakan.
Akhir sekali, harapan aku agar diadakan sesi dialog antara Menteri Agama dengan beberapa golongan Hak Asasi yang mengkritik prestasi JPM Agama itu sendiri agar dilihat memberi keadilan kepada kedua-dua pihak untuk berbincang dan sekurang-kurangnya menjernihkan keadaan.
Wallahualam.
Comments
Post a Comment