Mengutamakan Produk Muslim atau Memboikot Produk Bukan Melayu?

Sketsa politik tanahair kini masih tidak lari daripada kehangatan naratif perpaduan ummah untuk kelompok tertentu serta fahaman agama yang sempit. Kali ini, warga Malaysia yang majmuk dan harmoni disajikan dengan isu memboikot produk non-Muslim (pada asalnya) bertukar menjadi mengutamakan produk Muslim. Ini rentetan daripada keresahan sebilangan Melayu dengan utopia ancaman pihak kafir yang mendominasi dunia ekonomi di Malaysia. Kali ini segelintir bani Melayu termakan umpan perkauman dan sudut pandangan agama sempit mungkin kerana akibat beberapa rencana tersusun bertemakan momokan "Liberalisme, sekularisasi, kristianisasi  mempengaruhi  pentadbiran Malaysia Baharu ini" telah berjaya.



Bermula daripada naratif "Agama" dan "Perkauman" yang Sempit?

Lebih rancak lagi, kempen pada dasarnya dikatakan bermula dari bawah yang mempunyai kesedaran untuk menyokong produk Muslim kini ditunggangi segelintir NGO "Melayu-Muslim" yang sempit serta beberapa orang politik berteraskan ideologi perpaduan ummah (Melayu-Islam). Bagi mereka ini merupakan salah satu elemen untuk dijadikan kayu ukur jangka hayat mereka dalam arena politik. Justeru, segala keikhlasan majoriti Melayu yang sayang akan Islam dan bangsanya dipacu dengan sentimen ini. Akhirnya, mereka terjerat dalam dalam jerangkap samar yang penuh dengan  sentimen kebencian yang dipasang oleh segelintir politikus untuk agenda tertentu.

Pada awalnya, muafakat kejituan majoriti masyarakat Melayu Islam didasari atas kesedaran mahu memelihara nasib bangsa dan agama. Namun, ianya sudah ditala sedikit kepada sikap prejudis dengan agama dan kaum lain secara tidak sedar. Hal ini boleh dinilai melalui ruangan sosial media dijadikan wadah untuk mengekspresikan amarah kepada kaum lain serta tidak lupa beberapa individu  yang menjadi mangsa tohmahan dan kejian atas nama sayangkan Islam dan memelihara nasib Melayu.

"Kempen Mengutamakan Produk Muslim" pada asalnya hanyalah cetusan kesedaran untuk terus menyokong produk Muslim dan menaikkan ekonomi Islam. Namun, ia berpotensi menjadi senjata yang merbahaya jika diterajui kepada sikap prejudis dan benci kepada produk-produk lain (yang bukan keluaran bukan Muslim) atas alasan bangsa Melayu dan Agama Islam ditindas atau terancam. Secara amnya, realiti masyarakat masih memerlukan satu sama lain dalam membangunkan Malaysia tanpa mengambil kira latar belakang kaum dan agama.



Boikot produk Muslim atau mengutamakan Produk Muslim?

Segelintir masyarakat Melayu Muslim masih tidak jelas untuk melihat garisan sempadan antara mengutamakan produk Muslim serta memboikot produk non Muslim. Kekeliruan ini boleh diukur dengan beberapa situasi yang berlaku contoh seperti fitnah dilemparkan oleh seorang warga Muslim prihatin di facebook terhadap pasaraya Econsave berkaitan dengan isu produk Muslim. Penyebaran berita palsu dan fitnah adalah barah utama yang boleh merencatkan kematangan dan perkembangan kebebasan bersuara di era Malaysia Baharu ini.

Selain itu, Malaysia dilihatkan beberapa gelagat penyokong yang menggunakan platform kumpulan ini untuk menyerang PH khususnya parti DAP yang lazim dijadikan sasaran utama pembantaian politik amarah ini. Tidak kurang hebat juga beberapa ahli politik yang merembeskan lagi kebencian antara kaum berlatarbelakangkan perbezaan politik di Malaysia. Kemarahan ini secara tidak sedar telah ditonjolkan yang mewarnai kempen ini.

Disebalik faktor/ motif politik sering dilihat dalam kempen ini, para pemerhati juga perlu berhati-hati dan mempunyai empati yang tinggi akan sebab musabab kempen ini berlaku. Pihak pemerhati  perlu peka akan beberapa sentimen lain yang mendukungi kempen ini atas kesedaran agama mahu mencari barangan yang halal dan barokah. Bagi mereka kebanyakan produk yang utama sudah dicampuri dengan bahan-bahan syubhah serta najis seperti contoh kita pernah dengari ialah produk berasaskan makanan telah dicampur dengan tulang babi.

Selain itu adanya sentimen lain yang mewarnai dinamika kempen ini iaitu kesedaran untuk membantu produk-produk tempatan Muslim lain yang dilihat terpinggir dengan monopoli produk besar lain yang rata-ratanya datang daripada taikun besar dari kaum Cina dan antarabangsa; dan bukannya bermotifkan politik.




Peranan Kerajaan PH mendepani isu ini

Secara realitinya, kempen ini sudah lama dijalankan namun kali ini ianya boleh menjadi satu gelombang besar di alam maya kerana ketidakpuasan kebanyakan warga Malaysia khususnya Melayu-Muslim terhadap prestasi kerajaan PH. Selain daripada faktor media yang sering dituduh memanipulasi berita menjurus kearah yang kontroversi seperti isu agama dan bangsa, para ahli politik kalangan PH juga perlu lebih cermat dan lebih bijak mendepani isu-isu berbangkit.

Hal ini sering dipertikaikan kebanyakan para pemerhati. Contoh seperti ulasan TPM terhadap isu pemboikotan barang bukan Muslim. Sememangnya konteks yang diberi adalah untuk memupuk semangat perpaduan dan membentuk keharmonian masyarakat majmuk Malaysia; memang tidak dapat dinafikan lagi. Namun, ada beberapa segmen yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan dan perlu dicemati dengan lebih harmoni serta strategi yang tepat bersesuaian dengan keadaan semasa.

Contohnya, seperti kita sedia maklum kempen ini pada asalnya memboikot bertukar kepada nada yang lebih lunak kepada kempen mengutamakan produk Muslim. Seharusnya, kabinet menteri perlu mengakui transisi kempen ini dan mengambil maklum akan keresahan berlaku melalui kementerian-kementerian yang terlibat. Pokoknya, untuk memberi pendidikan serta jaminan akan keresahan yang timbul. Namun apa yang terjadi ulasan rasmi TPM mewakili kabinet menteri disalaherti serta dimanipulasi dengan sentimen dan salah faham yang serius.

Hal ini berpunca daripada konteks ulasan TPM menganggap kempen ini didasari dengan sentimen agama dan perkauman yang sempit dan menggugat keharmonian antara agama. Betul, itu memang tidak dapat dinafikan memang ada satu tekanan berkumpulan yang tertentu yang mempunyai pemikiran Agama dan Kaum yang sempit. Namun begitu, cabaran utama yang lebih besar yang kerajaan perlu hadapi ialah mententeramkan polemik ini dimana ia memberi kebaikan kepada semua khususnya dari segelintir kelompok Melayu-Muslim yang mendokong kempen ini.

Justeru, peranan kerajaan perlu mencari titik pertengahan dalam menangani isu ini agar kerajaan dapat mengelak stigma masyarakat Melayu Muslim di samping itu memupuk semangat harmoni antara kaum agar dapat membina masyarakat yang bertoleransi di samping menjaga hubungan antara kaum supaya tidak ada jurang salah faham yang mungkin berlaku secara kita tidak sedar atas landasan politik, agama dan lain-lain.














Comments