Hikayat Marhaen [Bahagian I]

Tangannya asyik leka menatal 'facebook' di paparan skrin telefon pintar membaca coretan kawan-kawan alam maya dan sesekali melihat tajuk utama sensasi berita di portal. Boleh dikatakan hampir sepanjang waktu lapangnya leka dengan menelaah seribu persuratan di telefon pintarnya. Bermula dari perkongsian secara individu dari kawan-kawannya di alam maya dengan kisah suka dan duka sehinggalah berita tular politik serta gosip sensasi yang mewarnai fikiran nya tatkala menelaah muka buku yang informasi tidak berkesudahan. ''Ah! persetanlah kerajaan baharu kini. Sama sahaja seperti dahulu. Tidak ada perubahan pun. Sembang sahaja. Lagi teruk Melayu dan Islam terancam dengan tindakan parti kafir dalam kerajaan ini yang semakin berani!" Getus hati beliau tatkala membaca berita politik tular dalam muka buku. Kadangkala, dilihatnya pautan berita tular yang dikongsikan oleh rakan-rakannya dalam kumpulan di aplikasi 'Whatsapp'.

Rahman, berusia hampir suku abad seperti kebiasaan orang lain hanya seorang rakyat biasa di Malaysia yang sudah lama menjadi pekerja kolar putih di institusi swasta yang sederhana  di ibu kota nan pesat membangun. Rahman cukup bertuah kerana mempunyai isteri yang cukup mengambil berat tentang beliau dan sentiasa setia disisinya. Tuhan maha mengatur, meskipun hampir lima tahun beliau mendirikan rumahtangga namun masih tidak mempunyai zuriat. Puan Zalikha, berusia 32 tahun adalah seorang guru bahasa Malaysia yang boleh dikatakan cemerlang di zon 1 di ibu kota Sega Raya. Alhamdulillah, hidup mereka sangat bahagia dan sederhana meskipun masih tidak dikurniakan zuriat seperti kebiasaan yang dibisingkan oleh makcik-makcik di kampung yang selalu mengimaginasikan keluarga sempurna dengan sepasang anak lelaki dan perempuan.

"Abang, sudah-sudahlah tu belek telefon. Dah lewat malam ni. Jomlah kita tidur esok Abang kena bangun awal nak pergi kerja".tutur Puan Zalikha bernada lembut tetapi sedikit berbaur jengkel kerana rasa diri dia tidak diberi perhatian. "Haishhh, bisinglah awak ni. Sekejaplah sayang. Abang dah nak habis baca berita kawan abang kongsi ni. Sayang tidurlah dulu, nanti Abang tepuk dodoi awak ye." balas Rahman yang sudah lali dengan keletah isterinya yang selalu disalaherti suka membebel meskipun itu hanyalah tanda keprihatinan isterinya terhadap beliau. Dalam beberapa minit kemudian, Rahman pun terus menutup pautan 'facebook' dan mematikan lampu kalimantan dibiliknya. Dengan penuh sayu beliau memerhatikan isterinya sudah lena keletihan disisinya. Barangkali bebanan kerja sebagai guru ini amat besar. Perlu berhadapan dengan pengetua yang suka mengerahkan guru-gurunya itu dan ini bagi  meningkatkan prestasi cemerlang untuk memenuhi piawaian Pegawai Pendidikan Negeri supaya sekolah mereka terus berada di persada kecemerlangan. Selain itu, beliau juga terpaksa melayan kerenah ibu-bapa di dalam kumpulan aplikasi 'whatsapp' yang menekan guru dan kadangkala merungut mempersoalkan bebanan kerja rumah yang ditugaskan kepada anak-anak untuk disiapkan.

Rahman menghelakan nafas dan baring menatap kipas yang berpusing-pusing bergantung di atas siling. Begitulah persisnya kekusutan yang beliau alami di benak kepala tatkala memikirkan hal politik yang berlaku yang beliau baca di portal media alam maya tadi. "Jika kerajaan terdahulu tidak digulingkan oleh rakyat pada PRU lalu rakyat tidak tahu kebobrokan dan kecurangan skandal besar yang pernah dilakukan kerajaan dahulu. Berbalik kerajaan baharu sekarang dah menang tapi susah pula nak tunaikan manifestonya.Tak habis-habis isu timbul yang mengganggu sensitiviti Melayu Islam. Parti bermata dalam komponen kerajaan baharu pulak bertelagah tidak berkesudahan dengan isu pengganti mantan perdana menteri kini. Akhirnya, rakyat juga rugi sebab ekonomi tak berkembang. Dulu berdegar-degar kritik kerajaan dulu. Sekarang culas menunaikan tanggungjawab; tak habis-habis salahkan kerajaan terdahulu. Sama aja dulu dan sekarang. Hmm." Rahman bermonolog seolah-olah membuat suatu rumusan setelah membaca berita dan ulasan pemerhati politik yang tidak bertauliah di ruangan komen berita alam maya yang membentuk perspektif pandangan politik beliau. Diadun lagi dengan keresahan beliau dengan situasi ekonomi yang kian tidak seimbang akibat trade war antara US dan China yang sedikit terpalit kepada beliau dalam mencari kesejahteraan dalam peningkatan kos sara hidup. Lama-kelamaan, beliau terlelap jua sambil diulit permasalahan dunia yang tidak berkesudahan. Selamat malam dunia. Semoga Mimpi indah si Rahman dibelai fantasi indah sebelum bangun diterpa realiti dunia jika esok masih ada.




*********************************************************



[TAMAT BAHAGIAN I]

Comments

Popular Posts