Maaf kalau cakap

Assalamualaikum.

Kehadapan para pembaca sekalian,

Coretan ini ditujukan khas untuk semua ahli-ahli politik dan pendukungnya.
Sang Penulis ini hanya insan kerdil yang sering memerhatikan gelagat para politikus yang bertelingkah di singgahsana dan berasa terhibur akan kerenah pendukung perkumpulan mereka. Penulis ini hanya pengembara melintasi garis waktu hidup dan mencatatkan apa yang dirasakan perlu untuk tatapan umum sepanjang musafir si penulis ini dalam mencari yang hakiki.

Cerita kali ini masih lagi tidak lari daripada tentang situasi politik di Malaysia. Namun, kali ini  tidak mahu menfokuskan secara terperinci (punca, akibat kesan dan lain-lain) kasus politik yang berlaku mutakhir ini. Tetapi ingin menyinggung akan reaksi serta tingkah laku segelintir masyarakat yang 'prihatin' menanggapi persoalan dan isu yang berlaku. Ini menurut pengamatan aku melihat gelagat teman-teman dan para pembahas tidak bertauliah di alam maya mahupun realiti. Sang penulis pun hairan kenapa mesti berperihal tentang politik mesti dalam konotasi negatif ataupun yang buruk-buruk sahaja. Asal berperihal politik mesti terpalit dengan kebencian dan sentimen semata-mata. Paling tidak pun perbincangan hanya mati kepada peristiwa dan skandal berlaku. Mereka lebih ghairah mahu mencari 'kau yang salah dan aku sahaja yang betul'. Itu belum lagi teman-teman yang selalu sahaja tidak puas hati itu dan ini habis semua dia mempersetankan. Konon tidak berpihak mana-mana tetapi dia lebih taksub dari mana-mana aliran/fahaman politik kepartian yang ada secara tidak sedar. 

Gelagat reaksioner


Tak ubah seperti gosip, kandungan dan fakta yang dicanangkan dalam menjustifikasikan sesebuah isu itu dianggap tulen bagi segelintir mereka ini. Asal tular sahaja terus menjadikan sumber berita itu yang mutawatir nan sahih. Habis ditembak butir cerita yang 'tular' menuju ke medium sosial seperti facebook (yang lebih terbuka) sehinggalah ke dalam group whatsapp (yang lebih tertutup) untuk mencetuskan panik dan keresahan. Konon kesedaran politik tinggi mahukan kebenaran, tetapi dangkal dalam menilai cerita yang sahih. Lebih kelakar lagi, dikongsikan hanya berita-berita negatif tetapi tidak tertarik dengan cerita perkembangan politik yang positif yang ada dilakukan dalam pentadbiran PH. Paling tidak akhirnya mengheret naratif perbincangan politik 'Ini semua salah DAP'.


Adakah tulisan ini menyarankan mereka supaya taat patuh kepada PH? Tentu sekali tidak! Dah sah-sah anda pembangkang harus lebih kritikal dan tidak memberi peluang kepada kerajaan untuk berlaku culas lagi seperti yang pernah berlaku pada zaman pentadbiran terdahulu. Paling kurang pun jika kau pro-pembangkang mempunyai pertimbangan rasional untuk menyelidik. Bukan terus berkongsi tanpa usul periksa. Apatah lagi menyerang peribadi dengan caci-makian serta mempersetankan semata-mata. Nak caci-maki silakan, tetapi itu bukan ukuran kematangan dan rasional dalam diskusi politik.

Berita tular yang palsu merupakan barah serius dalam perkembangan kritis pembacaan rakyat Malaysia. Propaganda kini lebih ditular dan menunjangi perbahasan utama yang penuh dengan keresahan, kebencian, malah kesalahfahaman yang tinggi. Lebih parah lagi, secara tidak sedar para reaksioner ini menimbulkan kebencian dan salah faham dalam kemajmukan Malaysia; mahupun yang dikatakan pembela Melayu ataupun yang sebaliknya. Berbeza pandangan itu perkara biasa tetapi jangan culas dalam mencedok informasi serta jangan membelakangi kurniaan akal yang Tuhan bagi kepada anda.

Kebencian pada mulanya didasari oleh keresahan oleh sekelompok politikus ini yang dilihat oleh masyarakat sebagai suatu tuntutan yang besar. Bermula dengan menampilkan sosok imej yang karismatik dengan ke'Islam'an serta ke'Melayu'an berjaya memukau segelintir rakyat sehinggalah merasakan mereka sosok yang syumul tiada cacat cela dalam bersiasah. Pukauan ini boleh menjadi toksik yang akan meracuni pemikiran kritikal segelintir masyarakat jika tidak dikawal dengan betul. Perasaan takjub dan mengidolakan kepada sesuatu perkumpulan mahupun individu adalah lumrah seorang manusia. Tetapi jika ia berlebihan maka ia boleh mencacatkan kekritisan akal dalam menilai perkara yang lebih baik.

Cintakan Melayu dan Islam itu tidak salah. Apatah lagi mempertahankannya dalam amatan politik. Namun, sering disalah erti dek kerana sikap segelintir mereka itu sendiri dan merasakan mereka sahaja paling mutlak memelihara hak mereka. Erti kata lain, mereka sahajalah pembela ummah yang unggul yang lain tidak.


Kerajaan Baru yang 'terumbang-ambing'


Tidak dapat dinafikan lagi bahawa 'mood' rakyat sekarang sedang marah muak dengan prestasi kerajaan kini kerana mempunyai jangkaan tinggi kepada PH untuk menunaikan manifestonya dan membawa Malaysia ke arah lebih baik. Betul, tidak dapat disangkal lagi memang pentadbiran PH ada masalah lebih-lebih lagi baru dua -tiga tahun memegang tampuk pemerintahan yang dilihat 'fragile' dan perlu mengambil masa untuk stabil. Tidak seperti kerajaan terdahulu yang sudah lama di tampuk pemerintahan hampir enam dekad. Salahlaku kuasa di dalam pentadbiran PH bolehkah dikritik dan dipersoalkan? Ya, sangat dialu-alukan. Kerana rakyat sudah serik dengan kebobrokan kerajaan terdahulu. Ada juga kelemahan yang ada pada kerajaan kini itu tidak dapat dinafikan lagi. Malah rakyat kini lebih cerdik dan terbuka untuk mengkritik kerajaan.


Kerajaan juga perlu sedar bahawa lensa kaum dan agama masih lagi menebal di sanubari masyarakat Malaysia. Mulanya, laungan Islam terancam dan terabai disangkakan salah sebuah picisan kecil yang wujud dalam variasi politik Malaysia. Namun kini, ia semakin hebat dikumandangkan dan semestinya Pakatan Harapan diuji hebat dengan tembakan-tembakan kaum dan agama ini. Mulanya kita rasakan itu satu jenaka kerana mana mungkin anasir-anasir dicanangkan seperti hubungan sesebuah parti dengan pengganas komunis dan LTTE yang wujud dalam Pakatan Harapan. Namun kini, ia sudah sebati dalam sudut pandang segelintir masyarakat khususnya Melayu. Paparan media menghiasi lagi senario politik dimana ada beberapa penangkapan dibuat terhadap ahli-ahli politik DAP yang disyaki terlibat dan simpati akan pergerakan LTTE. Selain itu segelintir rakyat juga sering menilai ketidakupayaan Menteri Perpaduan yang seharusnya tampil progresif kedepan dalam menangani kelam-ribut isu perkauman yang berleluasa ini.

Adakah kedudukan Islam dan Melayu terancam dalam kerajaan baru? Jika dilihat pada bajet belanjawan negara 2020 terdapat peningkatan perbelanjaan dikhususkan untuk pembangunan Islam. Gagasan Rahmatan Lil Alamin cuba diperkenalkan oleh kerajaan kini dalam menyelusuri politik perkauman dan agama yang sempit. Ini termasuk juga fobia dan keresahan orang majoriti Melayu Islam terhadap anasir-anasir luar yang bisa menggugat akidah dan kepercayaan orang Melayu dimana sentimen ini tidak harus dipandang sepi. Gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin harus menembusi tembok sentimen politik kepartian yang tinggi serta keresahan dan kemarahan orang Melayu khususnya melihat seolah-olah 'DAP' cuba menggugat hak Islam dan Melayu. Tidak dapat dinafikan bahawa terma 'Ini semua salah DAP' adalah momokan pembangkang yang berjaya menyerap di sanubari segelintir masyarakat Melayu namun kerajaan PH harus melihat permasalahan ini dan cuba mengatasinya supaya reputasi PH diperbaiki dalam tempoh yang singkat ini.

Pada masa yang sama terdapat beberapa kementerian yang bergelumang untuk melawan birokrasi lama yang masih berpihak kepada kerajaan BN terdahulu. Ini sedikit sebanyak menyukarkan PH untuk merencanakan agenda mereka di bahagian kementerian masing-masing. Tidak dilupakan jua keterujaan beberapa 'menteri' dalam posisi baru yang kadangkala terlampau 'over reactive' mencermati isu-isu yang dilihat populer sehingga menjangkau portfolio kementerian lain. Manakala ada kementerian yang lain dilihat sugul membisu tatkala isu berlaku yang sepatutnya merekalah perlu kedepan. Inilah apa yang dirasakan oleh segelintir malah hampir majoriti rakyat Malaysia yang mahukan perubahan; bukan menyalahkan kerajaan terdahulu semata-mata.

Antara lain yang terkesan dan memualkan rakyat ialah perbalahan yang tidak berkesudahan dalam PKR dimana rakyat disajikan pertelingkahan kem Anwar dan kem Azmin Ali. Sedang mereka ini berbalah tetapi segelintir mereka masih lagi sengsara dengan kos bebanan hidup yang tinggi. Tiupan polemik memuncak bila berlaku plot-plot tak diingini dalam drama politik ini bila beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen PKR yang dihoskan oleh seorang menteri itu sendiri. Bagi mereka mungkin itu pertemuan biasa tetap mereka kena ingat bahawa kesannya besar dalam hubungan komponen parti dalam kerajaan mahupun pembangkang. Akhirnya, lensa politik hanya berlegar dengan isu-isu yang remeh-temeh didengungkan contoh seperti "Anwar kemaruk mahu menjadi PM-8" atau "Tun M mahu menjadi PM sepenuh penggal dan mahu melanggar konsensus PH". Akhirnya lensa politik tidak ubah seperti cerita sensasi Melodi yang penuh dengan gosip-gosip murahan yang merencatkan perkembangan arus kritikal rakyat dalam melihat politik jika tidak diselia kawal.

Semestinya kita mendambakan agar rakyat melihat dan menilai yang lebih kritikal. Biarlah berpeluh-peluh PH untuk mendepani kritikal-kritikal rakyat. Ini kerana PH sedar bahawa mereka hanya berkhidmat untuk warganegara Malaysia dan berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik. Bukan hanya sekadar caci maki dan serangan peribadi sahaja terpacul di mulut semata-mata.

Benar sekali mesej ini selalu berkumandang di peringkat masyarakat. Wahai kerajaan terkini, anda masih ada saki-baki masa lagi untuk membetulkan keadaan. Kepada para pembangkang, sudah-sudahlah anda mencemari kritikan anda dengan toksik kebencian prejudis agama dan perkauman. Penulis ini hanya sembang di jalanan sahaja.  Tetapi mesej inilah yang penulis selalu dengar di jalanan. Mungkin ini hanya luahan dan tembakan tapi sejujur dalam hati penulis mahu lihat pembaharuan. Justeru, rakyat dapat mencicip manisnya kebaikan.


Sekian dari sang penulis,
Ondek pak eh.






.


Comments