CERITA TIDAK BERKESUDAHAN (bahagian 1)

| 2.15 pagi | 3 November 2020 |

"Hidup Hidup! Mahasiswa!" "Tolak tolak! Kezaliman" "Takbir! Allahuakbar!" 

Laungan keramat itu berlegar kembali di minda seorang pemuda yang leka teringat akan kenangan beliau ketika bergelar mahasiswa. Tergetus pelbagai perasaan bercampur-baur di antara kegembiraan, penyesalan, dan sedih tatkala terimbau kenangan beliau ketika bergelar mahasiswa. 

Kerdipan lampu neon yang malap dan cuaca yang sejuk di malam hari tidak berjaya memujuk dirinya untuk beradu. Kelihatan di sebelah beliau isteri dan anaknya yang masih berusia 8 bulan sudah lama lena diulit mimpi. Sesekali beliau mendodoi anaknya untuk terus tenang tidur yang kadangkala igau dalam mimpi. Tidak lupa jua mengerlih ke isterinya sambil mengusap lembut dahi seolah-olah memahami kepenatannya dengan urusan kerja sekolah dan menjaga anak semasa seharian beliau bekerja.


"Kau kena tulis ni tentang situasi politik kat Malaysia. Habis tu apa je projek kau buat di Penang Institute?"

Terdiam sebentar beliau ketika dilontar soalan ini daripada ayahnya yang merupakan sosok paling dikenali dalam arena politik.

"Tak tahulah abah, Mus pun banyak dok buat report untuk agensi-agensi kerajaan Pulau Pinang. Takda masa nak tulis secara kritikal isu politik sekarang." Respon beliau secara teragak-agak. Terlihat wajah sugul ayahandanya yang mempunyai jangkaan tinggi akan kerja anaknya sebagai penyelidik politik untuk memandang serius isu politik Malaysia yang hangat berlegar ruang awam.

Perbualan ini berdesup menyinggah di sanubari beliau ketika serabut memikirkan tentang hal dunia. Kadangkala terasa lemah dirinya yang tidak mampu memenuhi jangkaan orang yang dia hormati di samping berasa berang kerana ayahnya seolah-olah tidak memahami kerja sebenar beliau dan terasa dipandang rendah.

Hidupnya sering dirasakan menumpang kepada kemasyhuran ayahandanya serta jangkaan-jangkaan tinggi orang keliling terutama dalam keintelektualan politik. 

"Wah! Baguslah hang kerja dengan Penang Institute. Tak lama lagi boleh lah join politik macam pak hang."

"Ouh hang kerja Penang Institute ka? Mesti kabel cekang ni guna ayah dia nak masuk sana".

Tidak dapat dinafikan Penang Institute adalah tempat yang berprestij untuk keintelektualan menggubal polisi dan idea khusus untuk kerajaan Pulau Pinang. Namun, tidak lari terpalit dikaitkan dengan sosok parti yang memerintah di situ sebagai medium propaganda. 

"Ahh! serabutnya. Apalah tujuan aku bekerja sekarang ni? Kenapa semangat idealisme aku tidak menebal seperti zaman dahulu? Menyesal aku join jemaah XXX! Apa aku nak dalam hidup sebenarnya?!"  Jeritan batin itu bertalu-talu keluar di minda nya. Lama-kelamaan akhirnya terlena beliau pada hening malam. Mengharap agar sisa esok harinya digunakan untuk berbakti di dunia.


                                                              *****************
                                                                -Tamat bahagian 1-





 

Comments